Bab 3: Sifat-sifat Akhlak Seorang Muslim (1/3)

Di antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang berikut:

1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat.

Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Yang bermaksud: Sesungguhnya yang hala itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara' adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda: Yang bermaksud: Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan. (Hadith riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim dan Tirmizi berkata: Hadith ini Hassan)

2. Memelihara Penglihatan:

Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah. Allah s.w.t berfirman:

ُق ْ ل لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ َأبْصَارِهِمْ

Yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram). (Surah An-Nur, Ayat: 30). Rasulullah s.a.w pula bersabda: Yang bermaksud: Pandangan itu ada satu penahanan dari penahanan iblis. (Hadith riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

Baginda juga mengingatkan: Yang bermaksud: Kamu hendaklah memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu maka Allah akan memburukkan muka kamu (Hadis riwayat Tabrani).

3. Memelihara Lidah:

Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan: Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan.

Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri: Yang bermaksud: Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya. (Hadis Riwayat Tirmizi).

Rasulullah s.a.w juga bersabda: Yang bermaksud: Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji. (Hadis riwayat Tirmizi). Sabdanya lagi: Yang bermaksud: Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi).

4. Bersifat Pemalu:

Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.

Rasulullah s.a.w bersabda: Yang bermaksud: Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman. (Hadis riwayat Baihaqi).

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

5. Bersifat Lemah-lembut dan Sabar:

Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya. Da'ie akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung.

Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemahlembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.