Bah.2 - Bab 1: Saya Mesti Hidup Untuk Islam (5/5)

Diriwayatkan pula bahawa ketika orang-orang Islam yang berhijrah mencari perlindungan kerana mempertahankan agama mereka di Habsyah, lalu mereka masuk menghadap raja Najasyi, lantas paderi dan pendeta yang ada di situ meminta mereka sujud untuk menghormati raja. Tetapi Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua rombongan menjawab: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah".

Malah di dalam sejarah Islam kita menemui ratusan contoh yang memperlihatkan kemuliaan, ketegasan pendirian dan keberanian yang dirakamkan oleh generasi pertama umat Islam seperti Khubaib bin Adi, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin Amir, Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musayyab dan lain-lain yang sewajar dipelajari perjalanan hidup mereka untuk dijadikan contoh teladan.

iv. Beriltizam Dengan Kerja-kerja Islam dan Kerjasama Dengan Aktivitiaktiviti Islam.

Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mengujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam. Allah berfirman:

سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخِيكَ 

Yang bermaksud: Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun). (Surah Al-Qasas, Ayat: 35).

Firman-Nya lagi:

عََلى الْإِثْمِ وَاْلعُدْوَانِ وَتَعَاوَنُوا عََلى الْبِرِّ وَالتَّ ْ قوَى وََلا تَعَاوَنُوا 

Yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah Al-Maidah, Ayat: 2).

Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang muslim dengan seorang muslim yang lain laksana satu bangunan yang tersusun, saling kuat-menguatkan di antara satu sama lain". (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda lagi: "Tangan (atau pertolongan) Allah itu bersama jemaah. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah (dari kumpulannya)". (Abu Daud meriwayatkan hadith seperti ini.) Sabdanya lagi: "Kamu wajib bersama jemaah muslimin dan Iman (pemimpin) mereka".

(Hadith sebahagian riwayat Bukhari dan Muslim) Sabda baginda yang lain:

"Jemaah itu berkat".
"Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab".

(Nota Kaki: Hadith riwayat Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal dalam “Zawaid al-Musnad.” Al-Hafiz as-Sakhawi berkata: Hadith ini diriwayatkan oelh ad-Dailami juga dan kedua-dua sanadnya lemah tetapi ia mempunyai banyak syawahid.)